Sunday, February 27, 2011

Hanya serpihan kerang-kerangan

"Hanya serpihan kerang-kerangan"

Nabi s.a.w bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.”(al-Bukhari)

Sunday, February 20, 2011

'SOLEHAH'



Beruntung menjadi wanita,
Punya rahsia yang tersendiri,
Allah mengangkat darjat para wanita,
Berbahagialah kita yang bergelar wanita.

Alhamdulillah, segala puji-pujian kita panjatkan kepada Allah swt. Dilimpahi rahmat dan kasih sayangNYA yang tidak terhitung dek kita. Pada kali ini, saya ingin berkongsi berkenaan wanita solehah. Siapakah mereka yang layak bergelak wanita solehah? Apakah kita ini tergolong di dalam golongan wanita solehah? Apakah persiapan kita jika kita ingin menjadi wanita solehah? Di sini saya lebih suka menggunakan konsep pertanyaan, agar secara tidak langsung kita telah memuhasabahkan diri kita. Mudahan kita sama-sama beroleh gelaran sebagai wanita solehah.

Islam agama yang terlalu indah, mudah bahkan untuk memperolehkan gelaran solehah itu syaratnya tidaklah banyak. Di susuli pula ganjaran yang hebat. Subhanallah terlalu membahagiakan kita para wanita, di mana imbalan pahala dan syurga menanti di akhirat kelak. Itu janji Allah kepada wanita solehah.

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Jika kita susuri hadis di atas, sekurang-kurangnya terdapat empat dasar teras kepada wanita yang menginginkan gelaran solehah seterusnya memasuki syurga iaitu menunaikan kewajipan kepada Allah dalam melaksanakan ibadah yang diwajibkan seperti solat, puasa, dan ibadah lain. Bahkan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan iaitu taat kepada suaminya.

Bagi saya sendiri, kesemua ini tergantung kepada akhlaknya seseorang wanita itu. Jika sedari awal akhlak terpelihara dan di jaga, insyaAllah kita berupaya mendidik diri kita agar menjadi wanita solehah. Perlu ada keinginan, kemahuan dan kehendak. Tidak menjadikan ibadah itu suatu paksaan. Tidak menjadikan amalan kebaikan seperti menutup aurat, berkata baik, dan nilai murni itu suatu peraturan. Namun ia lahir dari keikhlasan hati dalam mendambakan keredhaan Allah. Sudah pasti nikmat keindahan dalam meraih cinta kepadaNYA suatu yang mengasyikkan. Kepada usia yang masih kepala 1 (10 tahun hingga 19 tahun), kalian beruntung kerana ada waktu untuk mendidik hati muda kalian agar bertambah kecintaan kepada Allah. Bagaimana? Di sini saya sertakan serba sedikit amalan dan sifat wanita solehah tersebut. Setelah kita mengetahuinya, baik dan untungnya jika kita beramal.

(1)    1) Keimanan dan taqwa kepada Allah serta kecintaannya kepada Rasul
Seorang wanita itu seharusnya mendahulukan Allah dan Rasul dalam apa jua perkara serta menjadikan keduanya sebagai kayu ukur dalam setiap gerak-geri dan tingkahlakunya. Nabi Muhammad saw bersabda yang berbunyi;

“Tiga perkara yang mana ia terdapat pada diri seseorang itu, maka dia akan merasai kemanisan iman iaitu orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi segala sesuatu, orang yang mencintai orang lain kerana Allah dan orang yang membenci kekafiran sebagaimana dia membenci dimasukkan ke dalam api neraka”

Wanita solehah itu, tatkala sendiri mahupun ramai, di dalam waktu susah ataupun senang, hatinya sentiasa mengingati Allah, memelihara iman di dalam hatinya dengan zikir, ibadah sunah, membaca Al quran bahkan sentiasa merasai kebesaran dan keagungan Allah. Kehidupan wanita solehah ia adalah iman dan amalan soleh yang menjadi bekalan berjumpa dengan Allah kelak.

(2)     2) Sentiasa berada di rumah dan tidak berhias-hias (tabarruj).
Tempat yang lebih baik dan selamat bagi seorang wanita adalah di rumah. Sehinggakan disebut mengenai solat di rumah adalah lebih daripada solat di masjid. Nabi Muhammad saw bersabda, “Solat wanita di ruang tamu rumahnya lebih baik dari solatnya di ruangan luar rumahnya, dan solatnya di dalam biliknya lebih baik dari solatnya di ruang tamu rumahnya.”

Solat mereka di rumah itu lebih baik kerana ia lebih aman dari fitnah, lebih-lebih lagi setelah berlakunya tabarruj dan berhias-hias di kalangan wanita seperti kebanyakan masyarakat sekarang. Seperti kalian ingin tahu, wanita itu aurat. Jika dia keluar maka syaitan akan memandangnya. Syaitan itu akan mencantikkan wanita itu di mata lelaki. Rumah itu adalah suatu tempat dan cara yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Namun, janganlah pula kita menyalah ertikan perintah tetap di rumah. Adapun keluarnya kita dari rumah sudah pasti pertamanya menutup aurat, menjaga akhlak, niat kerana Allah dalam melakukan apa sahaja urusan yang baik dan sudah tentu arah tujuan tempat yang ingin di datangi.

  3)Sentiasa menundukkan pandangan dan memelihara dirinya
   Wanita yang beriman dan solehah itu, sentiasa menjaga pandangannya dari perkara haram dan menjaga    kehormatan diri. Mereka sangat menjaga adap pergaulan dan batas-batas lelaki dan perempuan. Tidak kira di manapun mereka berada, di dalam alam siber ataupun di luar.
Itulah di antara catatan yang saya kongsikan berkenaan wanita solehah. Ada banyak lagi sebenarnya yang tidak dilampirkan di ruangan ini terutama wanita solehah di alam perkahwinan. InsyaAllah di kesempatan lain saya akan kongsikan bahan bacaan tersebut.
Ayuh kalian, kita saling mendoakan untuk satu sama yang lain.
“Ya Allah, kurniakan kepada kami akal yang sihat, hati yang bersih, jiwa yang tenang, akhlak yang terpuji, lidah yang terpelihara, pendengaran yang dijauhi dari umpat mengumpat, dan anugerahkan kepada kami sifat wanita solehah dan taat kepada perintahMU. Lindungilah diri kami dari kejahatan dan maksiat. Peliharalah kami daripada godaan syaitan dan menurut hawa nafsu. Hanya kepada engkaulah kami meminta pertolongan dan berserah diri.”

Thursday, February 10, 2011

Usia


Suka di sini saya berkongsi berkenaan perihal pertambahan usia kita. Mari kita menghitung dan mengira purata umur kita saat dan ketika ini. Tercatat di dalam hadith hasan riwayat Imam Tirmidzi, Rasullulah saw bersabda, “Usia umatku berkisar antara 60 sampai 70 tahun”. Kembali kepada persoalan kira-kira usia kita tadi…Berapakah baki purata usia kita? Bagi umur kita kepala dua, sudah pasti ada 40 tahun lagi, insyaAllah dan seterusnya. Hakikat sebenar, pertambahan umur kita menunjukkan peringatan buat kita. Adakah kita masih dalam keadaan lalai, alpa, dan bersikap tangguh lagi? Gegarkan lah minda dan jiwa kalian. Ayuh, kita bersegera melakukan perubahan yang bermula dari kita sendiri. Di mana? Di sini… bukan di entry ini namun di hati kalian..


Tiada siapa yang mengetahui bila tarikh luput, tarikh kematian bahkan had waktu nyawa yang dipinjam oleh kita pada saat ini. Kepada yang sihat, kamu tidak tahu bila kamu akan merasa sakit. Manakala kepada yang telah sakit, kamu tidak pula tahu bila kamu akan mati. Begitulah aturan yang dalam perancangan Allah swt. Sekali lagi saya tekankan, janganlah kita menunda-nunda perihal urusan kebaikan.
Kita sememangnya tidak dapat berada pada masa lalu. Usia dan hembusan nafas kita adalah terbatas. Bahkan ia suatu hubungan yang tidak dapat dipisahkan. Masakan tidak, panjang pendek usia seseorang itu sudah pasti bergantung kepada sepanjang mana ia masih boleh bernafas. Makanya, masa itu punya hak ke atas kita. Sedangkan jika di imbau kembali berapa banyak hak-hak yang tidak kita tunaikan pada masa tersebut. Terlalu banyak hak waktu yang harus ditunaikan, sehingga sebanyak apapun orang beramal, sebenarnya hak waktu tidak akan habis. Kita bagaimana?


Persoalanya, kenapa?
Jawapan itu ada pada kalian. Sikap. Suatu sikap yang suka menangguh, menunda, melambatkan…Seperti kata Imam Hasan Al Bashri, “Jauhilah sifat menunda-nunda. Nilai dirimu bergantung bergantung kepada hari ini, bukan esok. Kiranya esok kamu beruntung, bererti keuntuntunganmu akan bertambah bila hari ini engkau telah beramal. Dan sekiranya esok engkau rugi, engkau tidak akan menyesal kerana telah beramal pada hari ini.”
Saudaraku,


Mari kita saling beringat, kita hanya memiliki waktu yang amat terbatas untuk beramal salih. Jangan membiarkan kita dibelenggu oleh syaitan yang sentiasa cuba mengisi ruang masa kita. Kita harus bijak menguasai dan mengenalpasti 3 dimensi iaitu KEINGINAN, KEHENDAK dan KEPERLUAN. Corak kehidupan kita bergantung kepada keutamaan kita mendahuluikan yang mana satu dari 3 perkara di atas harus ditunaikan terlebih dahulu. Cuba renungi kata nasihat dari Ibnu Athaillah ini yang berbunyi, “ Jika kabur bagimu dua perkara, maka perhatikanlah salah satu dari keduanya yang paling berat bagi nafsu, lalu ikutilah ia. Kerana tidak ada sesuatu yang terasa berat bagi nafsu kecuali suatu yang benar.”


Semoga Allah swt memberi kekuatan berterusan kepada kita untuk selalu berada di dalam ketaatan dan beramal kebaikan kepadaNYA.

Wednesday, February 9, 2011

Sahabat, Jika Kau Lemah


Sahabat, jika kau lemah,
Kau jangan merasakan sendirian,
Kerana aku temanmu ada d sini,
Sedia menemanimu.

Sahabat jika kau lemah,
Bersangka baiklah kau kepada Allah,
Allah sangat mencintai orang-orang yang bersabar,
Beruntunglah dikau jika sabar sebahagian amalmu.

Sahabat,jika kau lemah,
Jangan dipersoalkan apa yang berlaku,
Namun kembali kepada Allah,
Jagalah hubunganmu denganNYA.

Sahabat, jika kau lemah,
Jangan pernah berputus asa,
Berusahalah untuk bangun semula,
Bangunkan jua jiwamu kepadaNYA,
Tiada FORMULA yang terbaik melainkan meletakkan Allah jalan tujumu.

Sahabat, jika kau lemah,
Ketahuilah aku sahabatmu,
Yang akan sentiasa kisah kepadamu..
Kerana Aku sayang kau kerana Allah..

Saturday, February 5, 2011

Saat dan tatkala ini Saya dan Dia akan menjadi temanmu


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Hari yang di rahmatinya, telah mendekatkan saya dengan seorang hamba Allah yang menjadikan saya bertambah syukur kepadaNYA. Saya pernah melalui seperti yang dilaluinya walaupun perjalanan kehidupan kami berbeza, namun apa yang dia rasai, saya turut merasainya. Saat dan tatkala ini, ingin sahaja saya memeluk dan membisikkan kepadanya, “saya akan menemani awak tak kira bagaimanapun keadaan awak. Jangan di Tanya kenapa dan mengapa, saya ingin berbuat begitu pada awak, tiada jawapan melainkan saya sayang awak kerana Allah”. Awak, kawan kepada kawan saya yang saya cintai dan awak juga seorang kawan saya kasihi. Tiada kata hebat yang ingin saya gambarkan betapa manisnya persaudaraan itu tanpa syarat dalam erti ukhwah sebenar yang saya fahami.
Saya tulis bicara ini kerana saya ingin berkongsi kepada awak sahabat. Awak harus kuat dan tabah. Jika selama ini tiada yang menemani awak melainkan Allah yang maha pengasih, kini dan selamanya insyaAllah, saya jua akan menemani awak sebagaimana saya menemani awak jarak jauh semalam bahkan kawan yang saya cintai itu turut menemani awak. SubhanaAllah, hebat kan Allah mengatur yang terbaik buat kita sebagai hambaNYA. Suatu perkara yang jauh dari jangkauan kita hambaNYA yang daif.

Sahabat,
Kita pasti merasa lemah. Sekuat mana dan sekeras manapun hati kita, kita tetap dan telah merasai lemah dan penat menghadapi ujian-ujian yang datang menimpa silih berganti. Umpama, adanya awal tiada penghujungnya. Ingin sahaja hati kita meronta kebebasan dan mengharapkan pengakhiran yang membahagiakan. Masakan tidak, kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Masih adakah harapan untuk kita keesokkanya?
Sahabat ku kasihi,
Dulu saya mengalami luka yang sangat dalam di hati saya. Kelukaan saya sebagai seorang hamba Allah. Tiada ubat malahan penawar mujarab yang dapat menyembuhkan luka saya itu melainkan mendekatkan diri kepada Allah. Saya telah pun penat menangisi nasib diri saya ketika itu. Namun kini, saya berbahagia dengan apa yang ada, anugerah Allah yang tidak ternilai buat saya. Sahabatku, bersabarlah jalan terbaik buatmu. Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar. Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat, agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.
Sahabatku, cukup buat hari ini. Mungkin esok atau lusa, akan saya coretkan lagi bingkisan buat kita bersama. Allah hadirkan kami sebagai teman kamu. Maafkan saya coretan yang tidak seberapa ini buat kamu…

Friday, February 4, 2011

Ada perbezaan kah antara kita???


Ada perbezaan kah antara kita?
Kau islam dan aku juga islam, bahkan dia juga islam…
Kau bertuhankan Allah, sedangkan Allah juga tuhanku..
Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah..
Kalimah syahadah ini sama-sama kita sentiasa ungkapkan..
Adakah berbezanya kau dan aku?
Kenapa kau merasa ketidakselesaan tinggal bersama?
Kerana aku bukan sealiran denganmu dalam berjemaah?
Aduhai teman,
Adakah itu menjadikan tembok ukhwah aku dan kau?
Kefahaman bagaimana ini wahai teman?
Sedangkan islam itu bersaudara…
Kau dan aku bersaudara..
Kau dan dia bersaudara..
Dia dan aku bersaudara..
Allah itu tuhan kita, Nabi Muhammad nabi kita…
Islam itu agama kita, AL quran dan as sunnah pegangan kita..
Masih adakah perbatasan dalam ukhwah itu?
Ukhwah yang terjalin antara kita tetap nikmat persaudaraan yang indah..
Kenapa kau meletakkan halangan dalam bersahabat duhai teman?
Sedihnya aku wahai teman..
Aku, kau dan dia,
Tiada beza di sisiNYA melainkan TAQWA..
Kenapa hanya kerana beza aliran jemaah, berlakunya perbezaan?
Saat dan tatkala ini,
Selagi kita sama-sama islam..
Hakikat yang tidak dapat dipisahkan kita adalah BERSAUDARA..
Tolonglah wahai teman,
Lontarkan jauh satu sikap dari dirimu,
Merasa perbezaan di dalam perhubungan…
Mengapa harus kita bina tembok pemisahan ini?
Ayuh, kita runtuhkan rasa tembok pemisah ini..
Hanya mentaliti dan fikiran kita sahaja yang dapat merubahnya..
Biarpun berbeza aliran jemaah,
Namun ukhwah itu,
kita paksikan keimanan kepada ALLAH..
sahabat kawan seiman,
satu jalan dalam kenangan,
tak pernah lepas dalam kenangan,
Kerna Allah jadi tujuan..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails