Wednesday, June 9, 2010

Jejak Fikir seorang Hamba



Berada di suatu tempat yang bukan kita suka mungkin menjadikan kita tidak selesa bahkan merasa benci.. namun, pepatah melayu ada mengatakan, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang harimau mengaum.… Anda setuju atau tidak, terpulang kepada diri anda. Di sini saya cuba mengadaptasikan cara fikir kita sebagai seorang hamba. Tidak salah untuk merasai, melihat, menimba ilmu, mengkaji bahkan mencari ketenangan walaupun di lokasi yang tidak begitu sesuai… namun adakah kita telah lupa suatu perkara? Allah itu ada di mana – mana. Bahkan begitu juga dengan kita. Jangan membiarkan hati kita terhambat dengan suasana atau persekitaran. Membiarkan hati turut hanyut dan lalai dengan suasana seperti kata pepatah melayu yang disebut tadi. 
Ini adalah perkongsian dari saya. Tidak pernah saya menjangka saya akan berada di FUN FAIR. Tidak pernah menduga saya menjejakkan kaki di tempat yang dipenuhi dengan manusia yang dahagakan hiburan. Dan akhirnya pada usia tatkala ini, pertama kalinya saya berada di tempat itu. Bukan bersendirian tetapi ditemani sahabat merangkap rumet yang saya sangat cintai Aishah Suhaimi bersama dengan sebuah keluarga yang baik hati Cik Wan Hamzah bersama isterinya Kak Nor. Di awalnya, terbit rasa sesal di hati kerana menerima pelawaan Cik Wan sekeluarga, tapi akhirnya bertukar suatu nikmat muhasabah yang sangat mendalam di hati saya. Tiada keseronokan bahkan hiburan namun adalah manisnya iman itu saat bermain salah satu permainan di situ. Bagaimana tempat seperti ini yang mampu mengoyahkan iman namun telah menggoncang iman di hati saya?
Bagi saya, kuncinya adalah berfikir. Ya, rahsia itu ada pada semua ciptaan Allah SWT.
Sebenarnya, Ciptaan Allah SWT itu adalah nasihat.
Namun, ada satu kuncinya untuk menjadikan ciptaan Allah itu nasihat.
Yakni berfikir.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;”Surah Ali-Imran ayat 190.
Hanya manusia yang menggunakan akalnya sahaja yang mampu berfikir akan ciptaan-ciptaan Allah SWT. Saya hendak kita lihat, bahawa sebenarnya, sumber fikir itu ada di sekeliling kita. Hatta berada di tempat yang kita tidak sukai.   

Bagaimana cara fikir meninggalkan jejak muhasabah
Dua orang sahabat dalam perjalanan pekat malam, diiringi angin kencang, petir dan kilat di langit sehingga mencengkam rasa ketakutan dengan suasana seperti itu. Tiba – tiba salah seorang dari mereka tertawa kecil. Sahabat yang satu kehairanan lalu bertanya, “ Apa yang membuatkan kau tertawa sahabatku?” Ia menjawab, “Tidak kah kau lihat apa yang kita alami sekarang. Gelapnya malam. Deru angin kencang, kilat dan petir, semuanya adalah tanda – tanda kasih sayang Allah. Bagaimana dengan tanda – tanda kemarahan dan kemurkaanNYA?”
Lihat bagaimana alur fikir dua sahabat ini? Logiknya, mereka tidak lupa menyelit atau mengaitkan peristiwa dunia dengan iman. Pandangan dan perenungan mereka di dunia berorentasikan pada akhirat. Itulah kunci keimanan yang mewarnai jejak fikir yang bergetar jiwanya kerana Allah.

Peristiwa yang memuhasabahkan hamba
Peristiwa malam tadi di FUN FAIR, meninggalkan kesan jauh di sudut hati. Di saat mereka menjerit, terpekik – terlolong mungkin seronok mahupun takut atau gembira membuat saya tersenyum sendiri bahkan saat itu sempat berfikir jauh, terlalu jauh di kala itu. Hayunan yang perlahan pada awalnya, mula bergerak laju dan kencang. Seribu satu perasaan tika itu. Teringatnya mati, laungan jihad di Palestine dan sempat memikirkan tika tiba hari kiamat. Bagaimana rasanya diterbalikkan. Tetapi di kala tibanya kiamat, tidak ada masa untuk kita berfikir. Bagaimana al quran menggambarkan peristiwa kemusnahan itu.
Pada hari Kiamat akan terjadi peristiwa yang sangat dahsyat di mana bumi digoncangkan sedahsyat - dasyatnya dan gunung-ganang dihancur luluhkan (rujuk Surah Al-Waqiah : 4-5). Kejadian yang lebih dahsyat lagi ialah ketika mana mata manusia terbelalak ketakutan, di saat itu pula bulan telah hilang cahayanya, lalu matahari dan bulan dikumpulkan. Sehingga para manusia takut dan panik dan bertanya dalam hatinya," Ke mana lagi tempat untuk lari?" Padahal tidak ada tempat untuk mereka berlindung dan bukan main panasnya ketika itu ( Rujuk Surah Al-Qiyamah : 6-11)
Saat itu, terasa manisnya iman, terasa Allah terlalu dekat, bahkan sangat dekat. Ya Allah, tanamkan rasa syahid di hati dan mindaku, letakkan diriku dikalangan tujuh golongan yang mendapat naunganMU di akhirat kelak di jiwaku. Teruskan kecintaanku pada hamba yang mencintaiMU. Di saat permainan itu terbalik, sempat saya menyapa sahabatku Aishah Suhaimi di sebelah. Kami sama – sama tersenyum. Saya percaya dia punya hati dan minda yang berfikir dan terus berfikir ummah di kala ini. Kami sama – sama punya rasa. Semestinya suatu perasaan yang lain di kala orang lain sibuk menjerit... Bahkan saya sempat membayangkan perasaan saudara kita di Palestine, sukarelawan yang di hantar mengikut Misi LL4G terutamanya mereka yang ditawan di kapal MAvi Marmara. Ya, kemanisan iman itu terlalu indah. Saat permainan itu berhenti, saya merasakan terlalu kejap merasa kemanisan iman itu. Singkatnya masa yang dirasai di saat hati bersama Allah. Sampai – sampai permainan berhenti, saya dan Aishah Suhaimi mengeluh, “arrg kejapnya”. Bukan kerana kami seronok bermain tetapi seronoknya dan bahagia merasai nikmat iman dan Cinta itu. Bagaimana? Ya, kuncinya adalah cara fikir dengan akal kurniaan Ilahi!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails