Saturday, February 5, 2011

Saat dan tatkala ini Saya dan Dia akan menjadi temanmu


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Hari yang di rahmatinya, telah mendekatkan saya dengan seorang hamba Allah yang menjadikan saya bertambah syukur kepadaNYA. Saya pernah melalui seperti yang dilaluinya walaupun perjalanan kehidupan kami berbeza, namun apa yang dia rasai, saya turut merasainya. Saat dan tatkala ini, ingin sahaja saya memeluk dan membisikkan kepadanya, “saya akan menemani awak tak kira bagaimanapun keadaan awak. Jangan di Tanya kenapa dan mengapa, saya ingin berbuat begitu pada awak, tiada jawapan melainkan saya sayang awak kerana Allah”. Awak, kawan kepada kawan saya yang saya cintai dan awak juga seorang kawan saya kasihi. Tiada kata hebat yang ingin saya gambarkan betapa manisnya persaudaraan itu tanpa syarat dalam erti ukhwah sebenar yang saya fahami.
Saya tulis bicara ini kerana saya ingin berkongsi kepada awak sahabat. Awak harus kuat dan tabah. Jika selama ini tiada yang menemani awak melainkan Allah yang maha pengasih, kini dan selamanya insyaAllah, saya jua akan menemani awak sebagaimana saya menemani awak jarak jauh semalam bahkan kawan yang saya cintai itu turut menemani awak. SubhanaAllah, hebat kan Allah mengatur yang terbaik buat kita sebagai hambaNYA. Suatu perkara yang jauh dari jangkauan kita hambaNYA yang daif.

Sahabat,
Kita pasti merasa lemah. Sekuat mana dan sekeras manapun hati kita, kita tetap dan telah merasai lemah dan penat menghadapi ujian-ujian yang datang menimpa silih berganti. Umpama, adanya awal tiada penghujungnya. Ingin sahaja hati kita meronta kebebasan dan mengharapkan pengakhiran yang membahagiakan. Masakan tidak, kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Masih adakah harapan untuk kita keesokkanya?
Sahabat ku kasihi,
Dulu saya mengalami luka yang sangat dalam di hati saya. Kelukaan saya sebagai seorang hamba Allah. Tiada ubat malahan penawar mujarab yang dapat menyembuhkan luka saya itu melainkan mendekatkan diri kepada Allah. Saya telah pun penat menangisi nasib diri saya ketika itu. Namun kini, saya berbahagia dengan apa yang ada, anugerah Allah yang tidak ternilai buat saya. Sahabatku, bersabarlah jalan terbaik buatmu. Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar. Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat, agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.
Sahabatku, cukup buat hari ini. Mungkin esok atau lusa, akan saya coretkan lagi bingkisan buat kita bersama. Allah hadirkan kami sebagai teman kamu. Maafkan saya coretan yang tidak seberapa ini buat kamu…

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails