Friday, April 9, 2010

SURAT SEORANG MUSLIMAH



Dalam diam aku menyimpan seribu satu perasaan...
Maafkan diriku kerana telah mencoretkan sesuatu di sini. Kehadiran sseorang lelaki yang menuntut sesuatu yang harus kujaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatku tersedar dari lenaku yang panjang. Ilham ini kuperolehi dari sebuah artikel yang amat menyentuh hati seorang muslimah sepertiku.  Kau telah lama wujud di minda walaupun ada suatu perasaan yang menakutkan berkenaan denganmu. Masakan tidak, tidak pernah kenal bagaimana boleh hidup bersama?Tidak pernah bersua mana mungkin untuk terus percaya… Hanya pada Allah aku serahkan perancangan yang terbaik. Dan pada Allah jua ku pohon kau dikurniakan akhlak yang baik. Seorang teman baiku telah membuatkan aku terfikir panjang berkenaan denganmu. Dia ku lihat sangat menjaga batas pergaulan. Mudahan Allah ketemukan insan sebaik dirinya. Kerana dia sahabat yang baik bagiku. Terima kasih teman.. Dan aku pula tidak ketinggalan untuk meng- up- to – date kan diri. Turut sama menjaga etika sebagai seorang muslimah. Belajar memperbaiki diri, menambahkan ilmu bahkan apa yang paling penting cara fikir seorang wanita itu. Membataskan diri dalam pergaulan terutamanya dengan lelaki yang bukan mahram. Alhamdulillah, syukur kepada Allah dengan rahmat dan kasih sayangnya, nampak hasil dari usaha untuk membanteras anasir cinta dalam hati hambaNYa yang lemah ini. Untuk apa semua ini? Ini lah untuk kau, kerana aku mengharapkan yang terbaik juga dari sikapmu. . Aku sering merasa tidak selamat dari diperhatikan lelaki. Bukan hendak bersangka buruk terhadap kaummu, tetapi lebih baik aku berwaspada untuk langkah berjaga – jaga. Lagipun telah banyak peristiwa yang berlaku lewat kini berkenaan perkara yang diingini.
Aku mencuba untuk menjaga pandanganku daripada kaummu. Hati siapa yang tidak teruji dengan ujian tersebut? “Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki.” Sekiranya aku melayan dan tidak menyekat hubunganku antara lelaki, kebarangkalian aku boleh menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Nanti dihadapan Allah kelak, bagaimana akan kujawab andai ditanya? Adakah ini bentuk sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?
Terfikir sejenak, sekiranya aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, maka akulah dahulu perlu menundukkan pandanganku. Memperbaiki dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh Allah. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik? Tidak dapat aku menafikan sedikit sebanyak aku tergoda untuk memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Setiap kali perasaan ini datang, aku cepat – cepat memalingkan hati dan fikiranku dari titik – titik dosa ini kerana aku perlu menjaga perasaan itu semata-mata kerana Allah lantas untukmu jua. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi labuhan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.
Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir. Tetapi aku juga punya keinginan seperti wanita solehah yang lain, dilamar lelaki yang bakal dinobatkan sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tujuan yang satu. Menggapai redhanya Allah.
Tidak perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf as, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman as, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad saw, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat.
Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu karena kita masih tidak mempunyai hak untuk begitu. Juga jangan melampaui batas yang telah Allah tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Inilah permintaanku darimu. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu mencari redha Illahi. Aku akan merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang penyokong ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, mengulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan kukeringkan darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku.


Aku pasti berendam airmata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu kepadaku. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu karena dengan mencintai Allah, kau akan mencintaiku karena-Nya. Cinta itu lebih abadi daripada cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga….



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails