Saturday, July 23, 2011

Adakah kita telah 'BERSIH'kan hati dan diri?

Kita sering mandi untuk membersihkan fizikal badan kita. Paling kurang 2 kali sehari. Namun bagaimana pula dengan pembersihan hati kita? Agaknya berapa kali kita memperbaharui pembersihan rohani diri kita dalam sehari, seminggu, sebulan, atau setahun….? Terfikirkan kita kini untuk membersihkan kerohanian jiwa kita? Sedangkan kini, orang sibuk berbicara mengenai ‘bersih’. Acapkali kita insan yang lemah ini seringkali memungkiri janji seorang hamba yang berlaku lalai bahkan lupa. Berulang-ulang melakukan dosa dan maksiat. Tanpa kita sedar, titik hitam yang bergelar dosa ini telah menggelapkan hati di mana letaknya iman. Sedangkan Iman itu sinar cahaya.
Duhai teman, pernahkan kita merasa ketidakselesaan pada hati dan jiwa kita? Terasa sempit dan perit setelah melakukan kesalahan? Contohnya, kita mengumpat kawan kita namun tanpa kita sedari dia telah mendengarnya. Dia berlalu di hadapan kita dengan memandang sedih dan hampa. Tidak terasa kah perit di hati kita yang bergelar sahabat atau kawan? Adakah benar tidak sedikit pun kau terasa gelisah memikirkan perasaan bersalah kepada temanmu itu? Ini baru situasi antara manusia. Cuba bayangkan pula kita dengan pencipta yang mengasihi kita? DIA terlalu kasih kepada kita, mengurniakan nikmat tanpa pernah terhenti walaupun sesaat, Kita pula bagaimana? Apa yang kita perbuat? Bukan untuk kita mengeluh banyaknya dosa kita pada saat ini tetapi perlunya kita membersihkan hati kita. Agar dengan jalan pembersihan jiwa ini, kita dapat menginsafi diri dan berazam untuk menjadi lebih baik dari semalam.
Bagaimana kita hendak melakukan pembersihan hati? Bukan main lafaz atau minum air banyak agar hati bersih..sudah pasti TAK. Apa – apa sahaja untuk memulakan sesuatu sudah pasti niat. Jika betul kita nak berubah, maka sediakan diri dan hati kita untuk berubah menjadi lebih baik keranaNYA. Seseorang yang nak berubah, akan ada ujian dan dugaan. Di sinilah nilai ukur keazaman kita hendak berubah. Musuh utama sebenarnya adalah diri kita sendiri yang berselubung dengan nafsu yang dirangsang oleh syaitan. Benar, untuk menjadi baik perlu ada pengorbanan. Menolak dunia ke tepi dan mengutamakan akhirat. Ini bukan pula bermakna kita terus mengabaikan dunia demi kepentingan akhirat. Konsep inilah yang sering disalahertikan oleh sebilangan daripada kita. Dunia itu jalan meraih ke akhirat. Tempat di mana kita mengutip dan mengumpul amal bekalan di akhirat kelak.
Untuk entry kali ini, tanyakanlah pada diri kita, sudahkah kita bersihkan hati dan jiwa ini? telah bersediakah kita membuka peluang kepada hati dan diri untuk berubah? Sanggupkah kita menempuh dugaan dan ujian tatkala kita ingin berhijrah menuju kebaikan? Jangan biarkan diri terkapai-kapai dahagakan kebaikan… sedangkan kebaikan itu berlingkaran disekeliling dan sangat mendekati kita. Jangan biarkan himpitan rasa kegersangan dan kegelisahan di hati. Kita selama ini mendambakan cintaNYA, maka siapkan diri untuk meraih sambutan kasihNYA.. Yakinilah, kita pasti bahagia menerima cinta dan kasihNYA yang agung.


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails