Friday, July 23, 2010

Cukup halus tatkala menghayati seni tarbiyah Allah swt yang sebenar. Dan sebaik-baik tarbiyah Allah adalah dengan Ujian dan musibah. Kaifiyat tarbiyah Allah bilamana diteliti kehalusannya akan menimbulkan keinsafan dalam diri. Maka lahirlah pula pelbagai sifat-sifat mahmudah. Inilah Tarbiyah Allah s.w.t. TarbiyahNYA menyemarakkan iman seseorang. Hatinya yang lalai menjadi lebih dekat dan rindu pada Allah swt. Apabila akal menjadi ukuran penilaian kaifiyat tarbiyah Allah, sudah pastilah seseorang itu merasa dirinya tidak berguna, kecewa dan tidak redha dengan ujian yang menimpa. Maka lahirlah sifat-sifat mazmumah dalam hati lantaran buruk sangkanya pada tarbiyah Allah swt.

Berbeza pula apabila iman menjadi kayu ukur bagi kaifiyat tarbiyah ini. Dalam buku “al-Hikam” karangan ibn Ata’illah as-sakandari, beliau mengibaratkan ujian itu suatu nikmat yang tersembunyi atau ditangguhkan. Hanya dapat diperolehi dengan bersangka baik pada Allah swt. Dan orang yang paling bersangka baik pada Allah adalah Rasulullah saw, qudwatun hasanah sepanjang zaman. MasyaAllah..!!

Tarbiyah Allah swt memerlukan penghayatan yang tinggi. Penghayatan iman yang mantap mampu mendorong seseorang itu lebih akrab dengan tuhannya. Mengimbas sejarah islam bagaimana Rasulullah saw di uji menjadi anak yatim piatu di waktu kecil usianya. Baginda tidak pernah merasa kasih sayang seorang ayah. Banyak lagi ujian-ujian yang baginda terpaksa lalui khususnya dalam penyebaran dakwah baginda. Bermula dakwah secara rahsia sehinggalah dakwah baginda secara terbuka. Namun ujian itulah yang mentarbiyahkan Rasulullah saw menjadi seorang yang cekal, sabar dan tabah sebagai seorang hamba Allah yang unggul peribadinya. Setiap kehidupan itu pastinya akan berteman dengan ujian. Samada ujian kebaikan atau sebaliknya. Sekalipun kita melihat orang kaya yang banyak hartanya, bahagia hidupnya, tetapi dalam bahagia itu dirinya menjadi perhatian Allah dan manusia. Allah mengujinya samada bersyukur atau kufur pada RahmatNYA. 

Hakikatnya manusia kala ini terlalu ramai yang tewas dengan nafsunya. Nafsu yang terlalu dimanja-manja dengan wang ringgit dan segala macam kemewahan, pangkat, darjat dan kecantikan selalunya menjadikan si pemiliknya lupa diri, bongkak, ujub dan segala macam lagi sifat-sifat mazmumah yang bersarang dihati. Akan tetapi, nafsu menjadi lemah tikamana kesusahan itu yang menjadi santapannya. Ramai manusia apabila ditimpa dengan musibah dan ujian, hatinya lebih lembut untuk menerima hidayah Allah. Sirah perjuangan nabi Muhammad di Mekah menjadi buktinya. Ramai di kalangan masyarakat arab ketika itu yang menerima islam di awal penyebarannya terdiri di kalangan orang yang faqir miskin, hamba abdi dan kaum perempuan yang dianiaya. Di sinilah letaknya hikmatnya Allah menguji hambaNya dengan kesusahan dan kepayahan hidup.. Fitrah bergembira cenderung hatinya kepada hubbud dunya (cintakan dunia). Dan amatlah rugi orang yang hatinya cinta kepada dunia dan seisinya sedang dunia itu bersifat FANA.

Tikamana diri kita diuji oleh Allah dengan kebaikan dunia, maka bersyukurlah pada nikmat kurniaNYA. Itu tandanya diri kita dalam pemerhatianNYA. Siapkan diri dengan iman dan taqwa, kerana itulah yang akan menjadi benteng kita daripada godaan syaitan dan nafsu kita yang tidak ada istilah waktu untuknya melalaikan kita. Sungguh nafsu itulah yang paling hampir dengan diri kita. Maka, kalahkanlah ia dengan banyak memberi kerana Allah swt. Jikalau ujian Allah berupa kekayaan, banyakkanlah menghulur pada yang memerlukan. Sungguh kekayaan itu hanyalah pinjaman semata. Pemiliknya adalah yang kekal Abadi. Kita hanyalah insan yang hanya menumpang Kesempurnaan sifat-sifatNYA. Jadikanlah barang pinjaman itu sebagai wasilah untuk kita mendekatkan diri kita pada ALLAH swt. Sesiapa yang memberi pinjaman pada Allah (sedang Allah tidak memerlukan pinjaman) maka Allah akan memberikan pulangan yang berlipat ganda hasil daripada apa yang dilakukannya.. Sekiranya ujian nikmat itu berupa darjat dan pangkat, maka ingatlah kekuasaanNYA dan AgungNYA Allah swt.. Sekiranya ujian itu berupa kecantikan, ingatlah akan diri kita, kecantikan itu hanyalah sementara dan kecantikan itu hanyalah nilaian zahir bagi manusia. Jadikanlah dirimu begitu berharga dan bernilai di hadapan Allah swt. Baginda bersabda :“Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa paras dan kekayaan kamu, tetapi melihat pada amal dan hati-hati kamu”.

Andai diri kita di uji dengan kesusahan hidup, tetapkan lah hati kita dan bersangka baiklah pada ALLAH s.w.t. Itu tandanya Allah rindu untuk mendengar luahan bicara kita. Allah amat suka mendengar bisikan-bisikan hati yang rindu kasih sayangNYA. Sedang diri kita di uji, Allah sebenarnya ingin memelihara kita dari sejuta keburukan… Setiap kesusahan itu akan diakhiri dengan kebaikan dan kemuliaan. Maka hendaklah kita lapangkan dada kita dan bersyukur penuh redha agar kebaikan dunia akhirat itu menjadi penghuni hati kita. Moga kedukaan itu berganti dengan ketenangan, redha dan ikhlas dalam setiap apa yang berlaku lantaran bersangka baiknya kita pada ALLAH sw.t. Mulakanlah hari kita dengan senyuman dengan lidah kita sentiasa bertahmid memuji Allah swt, dan hati kita sentiasa mengingati Allah swt dan merasa bahagia sepanjang masa..

Jadilah orang yang bersyukur sewaktu menerima ujianNYA lebih-lebih lagi tika musibah menimpa. Itu tanda kasih sayang Allah swt pada kita agar hati kita sentiasa bertaut rindu dengan namaNYA. Usah mengeluh pada RahmatNYA, sekalipun ujian musibah menjadi tamu hidup kita.. Insafilah dan hayatilah simbolik kesusahan hidup yang menimpa kita. Allah lebih Maha Mengetahui sedang kita sedikitpun tidak mengetahui. Serahkanlah kehidupan kita sepenuhnya pada Allah swt setelah kita iringi dengan usaha. Pasti suatu hari nanti, diri kita akan tersenyum syukur dan bahagia atas ketentuanNYA.. dan barulah kita mengetahui itulah yang terbaik untuk diri kita. .. SubhanALLAH walHamdulillah.

Monday, July 19, 2010

Nikmat atas Bahagia seorang Hamba..



Telah terlalu lama entry di laman ini ditinggalkan tanpa diperbaharui. Alhamdulillah, saya berpeluang berkongsi penulisan. Walaupun pada hakikatnya, penulisan yang saya kongsi tidaklah seberapa seperti penulis blog yang lain. Namun, syukur dipanjatkan padaNYA dengan rahmat dan nikmat ini ada keupayaan untuk berbicara di alam maya. Baiklah saya terus kepada penulisan saya pada kali.

Bahagia kah kita? Atau menempah kecelakaan?
Bagaimana kita melihat sebuah kebahagiaan itu dan suatu kemenangan? Bahkan diri saya sendiri kerap mendambakan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sesiapa saja sering mendoakan kebahagiaan saudara – saudaranya. Tetapi ingin saya bertanya pada diri sendiri dan kalian juga, apa yang kita telah faham kebahagian itu? Telah kah kita merasakan kebahagiaan itu? Seorang teman pernah memberi nasihat, di kala kesedihan melanda dia berpesan “kebahagiaan itu terletak pada hati” walaupun hakikatnya benar, namun apakah kebahagiaan itu? Ayuh kita lihat diantara ciri – ciri kebahagian dan kemenangan itu bagaimana. Adakah kita ini tergolong mereka yang bahagia atau kecelakaan?

Ciri – ciri keBAHAGIAAN Vs ciri – ciri keCELAKAAN
Apabila bertambah ilmu pengetahuannya, bertambah pula kerendahan hati dan kasih sayangnya. Semakin bertambah amal salihnya, bertambah tebal pula rasa ketakutan dan kehatiannya dalam menjalankan perintah Allah. Semakin bertambah usianya, semakin kurang cita – cita keduniaanya. Semakin berlipat ganda hartanya, semakin terserlah sikap kedermawan dan pemberiaan sesama insan. Jika bertambah tinggi kemampuan dan kedudukannya, bertambahlah kedekatannya pada manusia dan semakin rendah hati kepada mereka. Namun sebaliknya bagi ciri – ciri kecelakaan di mana, ketika ilmu pengetahuanya bertambah, semakin bertambah pula bangga dirinya. Apatah lagi bertambah amalnya, bertambah pula ujub pada diri sendiri dan penghinaanya pada orang lain. Semakin bertambah kemampuan dan kedudukannya semakin bertambah pula kesombongannya…
          Apa yang kita rasakan di saat ini wahai saudaraku? Kata – kata itu telah dibicarakan oleh Imam Ibnu Qayyim. Adakah kita ini tergolong insan yang bahagia? Atau celaka? Kritik lah diri kita wahai temanku. Mungkin kita bertambah hanyut tanpa kita menyedari kehanyutan kita semakin menjauh. Namun di saat kita telah menyedari di tahap manakah diri kita, ayuh bangkitlah duhai hati. Perbaharuilah. Jentera pengggerak itu adalah diri kita.
Semoga Allah membimbing hati dan langkah – langkah kita untuk tetap dan terarah kepada karakter orang – orang yang berbahagia dan menang. Semoga Allah menjauh dan memelihara diri kita daripada karakter orang – orang yang terpedaya oleh ilmu, amal dan kemampuannya. Amin ya Rabbal Alamin.

Peristiwa vs keadaan
Kadang – kadang kebahagiaan itu tidak disedari kehadirannya, malahan bak angin lalu. Hakikat sebenarnya kebahagiaan itu boleh hadir dalam pelbagai keadaan tidak kira di saat kita susah mahupun senang. Di saat kita susah dan kesulitan ada kemudahannya. Lihat kembali, bagaimana Allah telah mengaturkan yang terbaik buat hambaNYA. Renungi kembali mana - mana peristiwa yang meruntun jiwa dan hati kita sehingga membawa berkeluh kesah, sedih dan 1001 perasaan yang mengelisahkan. Maka di saat itu apa yang kita paling perlukan? Sudah pasti satu perasaan yang menenangkan kita. Ketenangan ini lah punca kebahagian itu. Bagaimana untuk kita memiliki perasaan itu? Sudah pasti ada jalanya dengan Kembali kepada fitrah seorang hamba. Memuhasabahkan diri agar bersabar dan menerima dengan hati yang terbuka. Atas cara bersangka baik kepada Allah. Kunci utama kebahagiaan itu ada di dalam diri. Cara fikir membawa postif atau negatif. Maka pilihan telah tersedia di depan diri kita. Ingin jadi orang yang bahagia atau celaka? Saya tinggalkan persoalan ini pada kalian. Moga berbahagia wahai teman dan saudara - saudaraku..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails