Sunday, February 20, 2011

'SOLEHAH'



Beruntung menjadi wanita,
Punya rahsia yang tersendiri,
Allah mengangkat darjat para wanita,
Berbahagialah kita yang bergelar wanita.

Alhamdulillah, segala puji-pujian kita panjatkan kepada Allah swt. Dilimpahi rahmat dan kasih sayangNYA yang tidak terhitung dek kita. Pada kali ini, saya ingin berkongsi berkenaan wanita solehah. Siapakah mereka yang layak bergelak wanita solehah? Apakah kita ini tergolong di dalam golongan wanita solehah? Apakah persiapan kita jika kita ingin menjadi wanita solehah? Di sini saya lebih suka menggunakan konsep pertanyaan, agar secara tidak langsung kita telah memuhasabahkan diri kita. Mudahan kita sama-sama beroleh gelaran sebagai wanita solehah.

Islam agama yang terlalu indah, mudah bahkan untuk memperolehkan gelaran solehah itu syaratnya tidaklah banyak. Di susuli pula ganjaran yang hebat. Subhanallah terlalu membahagiakan kita para wanita, di mana imbalan pahala dan syurga menanti di akhirat kelak. Itu janji Allah kepada wanita solehah.

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."
(Hadis Riwayat Ahmad)

Jika kita susuri hadis di atas, sekurang-kurangnya terdapat empat dasar teras kepada wanita yang menginginkan gelaran solehah seterusnya memasuki syurga iaitu menunaikan kewajipan kepada Allah dalam melaksanakan ibadah yang diwajibkan seperti solat, puasa, dan ibadah lain. Bahkan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan iaitu taat kepada suaminya.

Bagi saya sendiri, kesemua ini tergantung kepada akhlaknya seseorang wanita itu. Jika sedari awal akhlak terpelihara dan di jaga, insyaAllah kita berupaya mendidik diri kita agar menjadi wanita solehah. Perlu ada keinginan, kemahuan dan kehendak. Tidak menjadikan ibadah itu suatu paksaan. Tidak menjadikan amalan kebaikan seperti menutup aurat, berkata baik, dan nilai murni itu suatu peraturan. Namun ia lahir dari keikhlasan hati dalam mendambakan keredhaan Allah. Sudah pasti nikmat keindahan dalam meraih cinta kepadaNYA suatu yang mengasyikkan. Kepada usia yang masih kepala 1 (10 tahun hingga 19 tahun), kalian beruntung kerana ada waktu untuk mendidik hati muda kalian agar bertambah kecintaan kepada Allah. Bagaimana? Di sini saya sertakan serba sedikit amalan dan sifat wanita solehah tersebut. Setelah kita mengetahuinya, baik dan untungnya jika kita beramal.

(1)    1) Keimanan dan taqwa kepada Allah serta kecintaannya kepada Rasul
Seorang wanita itu seharusnya mendahulukan Allah dan Rasul dalam apa jua perkara serta menjadikan keduanya sebagai kayu ukur dalam setiap gerak-geri dan tingkahlakunya. Nabi Muhammad saw bersabda yang berbunyi;

“Tiga perkara yang mana ia terdapat pada diri seseorang itu, maka dia akan merasai kemanisan iman iaitu orang yang mencintai Allah dan RasulNya melebihi segala sesuatu, orang yang mencintai orang lain kerana Allah dan orang yang membenci kekafiran sebagaimana dia membenci dimasukkan ke dalam api neraka”

Wanita solehah itu, tatkala sendiri mahupun ramai, di dalam waktu susah ataupun senang, hatinya sentiasa mengingati Allah, memelihara iman di dalam hatinya dengan zikir, ibadah sunah, membaca Al quran bahkan sentiasa merasai kebesaran dan keagungan Allah. Kehidupan wanita solehah ia adalah iman dan amalan soleh yang menjadi bekalan berjumpa dengan Allah kelak.

(2)     2) Sentiasa berada di rumah dan tidak berhias-hias (tabarruj).
Tempat yang lebih baik dan selamat bagi seorang wanita adalah di rumah. Sehinggakan disebut mengenai solat di rumah adalah lebih daripada solat di masjid. Nabi Muhammad saw bersabda, “Solat wanita di ruang tamu rumahnya lebih baik dari solatnya di ruangan luar rumahnya, dan solatnya di dalam biliknya lebih baik dari solatnya di ruang tamu rumahnya.”

Solat mereka di rumah itu lebih baik kerana ia lebih aman dari fitnah, lebih-lebih lagi setelah berlakunya tabarruj dan berhias-hias di kalangan wanita seperti kebanyakan masyarakat sekarang. Seperti kalian ingin tahu, wanita itu aurat. Jika dia keluar maka syaitan akan memandangnya. Syaitan itu akan mencantikkan wanita itu di mata lelaki. Rumah itu adalah suatu tempat dan cara yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Namun, janganlah pula kita menyalah ertikan perintah tetap di rumah. Adapun keluarnya kita dari rumah sudah pasti pertamanya menutup aurat, menjaga akhlak, niat kerana Allah dalam melakukan apa sahaja urusan yang baik dan sudah tentu arah tujuan tempat yang ingin di datangi.

  3)Sentiasa menundukkan pandangan dan memelihara dirinya
   Wanita yang beriman dan solehah itu, sentiasa menjaga pandangannya dari perkara haram dan menjaga    kehormatan diri. Mereka sangat menjaga adap pergaulan dan batas-batas lelaki dan perempuan. Tidak kira di manapun mereka berada, di dalam alam siber ataupun di luar.
Itulah di antara catatan yang saya kongsikan berkenaan wanita solehah. Ada banyak lagi sebenarnya yang tidak dilampirkan di ruangan ini terutama wanita solehah di alam perkahwinan. InsyaAllah di kesempatan lain saya akan kongsikan bahan bacaan tersebut.
Ayuh kalian, kita saling mendoakan untuk satu sama yang lain.
“Ya Allah, kurniakan kepada kami akal yang sihat, hati yang bersih, jiwa yang tenang, akhlak yang terpuji, lidah yang terpelihara, pendengaran yang dijauhi dari umpat mengumpat, dan anugerahkan kepada kami sifat wanita solehah dan taat kepada perintahMU. Lindungilah diri kami dari kejahatan dan maksiat. Peliharalah kami daripada godaan syaitan dan menurut hawa nafsu. Hanya kepada engkaulah kami meminta pertolongan dan berserah diri.”

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails