Dari hati ini, saya kongsikan kisah mengenai doa seorang sahabat buat sahabatnya. Mudahan selama kita bersahabat, ada selitan doa buat sahabat kita.
Sebuah kapal terbang telah terhempas di sebuah pulau. Hanya dua orang insan yang telah terselamat. Setelah apa yang berlaku, mereka berdua tidak tahu hendak berbuat apa namun mereka yakin akan ada pertolongan Allah buat mereka. Saat dan detik itu mereka berkenalan di antara satu sama lain. Masing-masing mengakui ukhwah kerana Allah dan bersaudara. Subhanallah, Allah beri rahmat dan kasih sayang kepada kedua-dua sahabat ini. Mereka bersyukur, namun tiada siapa yang mengetahui apa yang terdetik di hati mereka melainkan Allah. Sudah tiba mereka di uji. Suatu hari, sahabat A mengatakan kepada sahabatnya B, “apa kata kita bahagikan pulau ini kepada dua wilayah. Kau di hujung sana, dan aku di sebelah sini”. Sahabat B, mengangguk tanda setuju. Masing-masing sepakat melihat doa siapakah di antara mereka dimakbulkan.
Malam tersebut mereka berdoa. Sahabat B memohon agar beroleh makanan. Alangkah bahagianya sahabat B, melihat sebuah pohon di wilayahnya mengeluarkan buah yang lebat. Bahkan ada pelbagai jenis buah-buahan yang lain. Sedangkan, sahabat A tiada apa-apapun perubahan. Sahabat A, memandang senang dan bahagia sahabatnya B. Masa silih berganti, sahabat B terus berdoa bermacam-macam. Apa sahaja yang dipintanya dimakbulkan. Namun, tidak kepada sahabat A. Tiada apa-apa pun perubahan. Namun bertambah kegembiraanya melihat sahabatnya B, doa yang dimakbulkan.
Akhirnya, sahabat B berdoa meminta kapal agar dia dapat meninggalkan pulau tersebut. Keesokkanya, sahabat B menemui kapal terdampar di sisi pantainya. Lalu dia pun bersiap-siap, hendak berlayar meninggalkan pulau tersebut. Dia telah memutuskan untuk meninggalkan sahabatnya di pulau tersebut kerana merasakan sahabatnya itu tidak layak menerima nikmat tuhan. Tidak pernah sedikit pun dia melihat perubahan pada sahabatnya itu.
Saat ini, apa yang ada pada fikiran kita? Terfikirkah kita apakah doa sahabat A?
SubhanaAllah, pada malam pertama perjanjian mereka, sahabat A telah berdoa agar Allah memakbulkan segala permintaan sahabatnya B.
Sahabatku, pandanglah sahabat kita dengan pandangan kasih sayang.. jangan pernah kita lupa akan peranan orang lain yang mungkin tidak pernah kita sangka.. Titipkanlah juga doa buat sahabat kita.
Rasulullah SAW mengajarkan kita mendoakan saudara kita di saat tidak diketahui orang lain, terlebih lagi untuk orang yang kita doakan. Lisan orang berdoa untuk saudaranya adalah wasilah agar doa itu dikabulkan Allah SWT.
“ tidaklah seorang Muslim berdoa untuk saudaranya dalam keadaan tidak ada orang yang mengetahuinya, kecuali Malaikat yang diutus mengatakan kepadanya, “ dan bagimu apa yang engkau minta untuk saudaranmu” (HR Muslim)
Kehadiran malaikat yang mengaminkan permohonan seseorang sebagaimana permohonan orang tersebut kepada saudaranya mengandungi makna lain bahawa doa itu diucapkan kembali kepada diri sendiri.
Mendoakan orang lain menunjukkan perhatian kita kepada orang lain. Sikap kepedulian dan empati ini yang dianjurkan oleh Islam. Maka mendoakan orang lain secara automatiknya menghilangkan perasaan ke’aku’an dan menyingkirkan keegoaan dalam diri. Seseorang yang kerap mendoakan orang lain adalah lebih dekat dengan realiti hidup dan lebih sedar akan keterbatasan sebagai hambaNya. Lebih merasakan kesyukuran yang lebih dalam daripada keadaan diri yang dialami kerana melihat keadaan orang lain yang lebih berat.